BICARA PENGETUA SYS

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Terlebih saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan membangunkan laman web ini dengan memaparkan pelbagai maklumat tentang sekolah ini.
Globalisasi iaitu satu fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil daripada segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat(ICT) adalah sesuatu yang sudah berlaku dan tidak dapat dihapuskan lagi.Kesannya sudah dapat dirasai oleh seluruh manusia di dunia. Oleh yang demikian hakikat kewujudan dan kemaraan ke setiap pelosok daerah dan kampung di negara kita harus diterima dengan hati yang terbuka.Justeru itu saya menyeru agar pendidik dan pelajar bersedia menghadapi arus globalisasi yang menimpa dunia pada hari ini dengan memperkasakan ilmu ICT. Cabaran globalisasi yang didasari arus perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang pantas ini memaksa semua warga pendidik dan pelajar menguasai ilmu dan kemahiran yang tinggi dengan pantas untuk kekal relevan dan maju.
Seiringan itu para pelajar khususnya perlu menyedari hakikat pendidikan membangun negara untuk melangkah lebih jauh dan berjaya di masa hadapan. Tidak dinafikan bahawa budaya kerja positif yang wujud dalam kalangan warga SYS begitu besar sumbangannya terhadap kejayaan dan prestasi sekolah. Peningkatan dan pencapaian yang dikecapi lahir daripada semangat kental warga Yussufian di samping penglibatan ibu bapa bagi merealisasikan perkara ini.
Pada kesempatan ini saya merakam ucapan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membangunkan laman web ini.Dengan adanya kerjasama, ketekunan dan permuafakatan yang ditunjukkan ini, maka Sekolah Menengah Sultan Yussuf akan menjadi sebuah sekolah yang berjaya dalam semua bidang.

Sekian, terima kasih.

HAJI AZMI BIN AHMAD,
Pengetua,
SMK Sultan Yussuf